Make your own free website on Tripod.com

Cuaca panas guru teruskan Pendidikan Jasmani

 

''Pembatalan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan mungkin tidak disukai oleh pelajar kerana mata pelajaran inilah yang paling mereka minati.

 

''Budak-budak sekolah sangat berminat dengan mata pelajaran ini dan kalau kita batalkan pun, takut-takut nanti, mereka akan melakukan aktiviti-aktiviti lain pula.

 

''Seperti mana kes jerebu dulu, saya mengarahkan secara rasmi supaya aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan ditiadakan. Tetapi nampaknya pelajar ini tidak suka dan mereka keluar bermain di padang secara 'tidak rasmi','' kata Aziz ketika dihubungi, baru-baru ini.

 

Pembatalan aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dalam cuaca panas sekarang, dilihat sebagai langkah yang tidak perlu, kata beberapa guru lain, ketika dihubungi untuk mengulas isu yang sama.

 

Memandangkan aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan pada awal waktu pagi dan lewat petang yang tidak melibatkan suhu tinggi dan membahayakan kesihatan, ia boleh dilakukan dengan selamat.

 

Aziz menambah, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sebenarnya adalah antara masa yang ditunggu-tunggu oleh pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah kerana masa inilah mereka boleh melepaskan tekanan di bilik darjah.

Selain itu, mata pelajaran itu menjadi tempat bergaul mesra dengan kawan-kawan dalam bentuk yang lebih bebas.

 

Justeru itu, tambah Aziz, beliau tidak berhasrat untuk mengeluarkan arahan supaya Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dibatalkan.

 

Keputusan itu akan diserahkan kepada kebijaksanaan guru-guru membuat keputusan.

 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengenai pembatalan pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan jika cuaca panas ketika itu didapati menjejaskan kesihatan pelajar.

 

Bagaimanapun menurut Najib, perkara ini diserahkan kepada pentadbiran sekolah supaya membuat keputusan mengikut kesesuaian keadaan cuaca di kawasan berkenaan.

 

Kata Najib, kementerian tidak berhasrat untuk mengeluarkan arahan memberhentikan pelajaran tersebut kerana ia penting kepada pertumbuhan pelajar.

 

Sementara itu, pengetua Sekolah Sri Puteri, Kuala Lumpur, Aminah Ahmad pula berkata: ''Saya rasa cuaca panas tidak boleh dijadikan halangan untuk menjalankan aktiviti pendidikan jasmani di sekolah-sekolah, kerana ia dijalankan pada waktu pagi antara pukul 7.40 hingga selewat-lewatnya pada pukul 8.30 pagi.''

 

Menurut Aminah, di sekolahnya, pendidikan jasmani tetap diteruskan.

Bagaimanapun, sekiranya cuaca terlalu panas, aktiviti-aktiviti itu akan diadakan di dalam dewan ataupun di gelanggang bola jaring.

 

Menurut beliau lagi, akibat cuaca panas yang berlaku kini, pihaknya juga mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan pelajarnya sentiasa meminum air yang banyak.

 

''Kini nampaknya kita boleh lihat kebanyakan pelajar membawa botol-botol minuman air kosong ke kelas-kelas bagi mengurangkan kepanasan badan,'' ujarnya.

 

Kata Aminah lagi, cuaca panas yang berlaku kini juga ada membawa sedikit kesan ke atas kesihatan pelajarnya apabila ada antara mereka yang mula demam dan batuk-batuk.

 

''Bagaimanapun ia tidaklah sampai menjadi wabak kerana semuanya terkawal dan hanya sebilangan kecil sahaja yang sakit,'' jelasnya.

 

Bagi guru besar Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur, Ausman Mohd. Yusuf, pihaknya juga tidak akan mengeluarkan arahan rasmi untuk menangguhkan aktiviti bagi pendidikan jasmani dan kesihatan kerana ia dirasakan tidak perlu.

 

''Sehingga kini sekolah ini tidak mempunyai masalah dari segi meneruskan aktiviti-aktiviti jasmani kerana ia dijalankan pada waktu pagi yang suhunya tidaklah begitu panas,'' katanya.

 

Bagaimanapun menurut beliau, dalam menghadapi keadaan suhu yang agak tinggi ini, beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Pendidikan bahawa ia haruslah diserahkan kepada kebijaksanaan guru-guru untuk membuat keputusan.